“Jangan gelabah, biar mereka terkial-kial” – Hassan

“Jangan gelabah, biar mereka terkial-kial” – Hassan

Keputusan hakim perlu ditunggu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan berhubung dakwaan – yang dibuat mahkamah – bahawa Umno mempunyai akaun rahsia bank yang tidak diaudit.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim proses tersebut turut meliputi semakan bukti dan keterangan bersumpah saksi, sebelum keputusan dibuat oleh hakim di mahkamah.

“Keterangan pendakwa raya di mahkamah belum lagi konklusif. Perlu didengar apa kata pihak Umno pula.

“Hakim perlu semak evidence of documentation (bukti dokumentasi) dan keterangan sumpah saksi untuk putuskan sama ada pendedahan pendakwa raya itu boleh diterima atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam media melaporkan pihak pendakwaan mendakwa Umno memiliki akaun rahsia untuk menerima sumbangan politik

Hal itu disebutkan pihak pendakwaan semasa menyanggah dakwaan wang tunai RM114.16 juta – yang dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucutanhak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings – adalah milik parti itu.

Susulan itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dakwaan tersebut.

Hassan berkata ROS hanya boleh bertindak selepas keputusan dibuat pada akhir perbicaraan dan sekiranya hakim mendapati memang benar terdapat akaun rahsia itu.

“Jika tidak, ROS bertindak secara pramatang,” kata pemimpin PKR itu.

Umno sebelum ini mendakwa bahawa wang yang ingin dirampas oleh kerajaan kerana didakwa ada kaitan dengan dana 1MDB sebenarnya adalah milik parti itu.

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS