JDT menang lagi piala sumbangsih

JDT menang lagi piala sumbangsih

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan langkah bergaya apabila menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Jaringan kemenangan skuad Harimau Selatan dihasilkan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-34 dan Natxo Insa pada minit ke-67.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora mengekalkan penguasaan mereka terhadap Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.

Terdahulu, JDT turut menjulang Piala Sumbangsih pada tahun 2015 dan 2016.

Kemenangan itu menyaksikan JDT berjaya mengutip tiga mata pertama sekali gus mendahului carta Liga Super musim ini menerusi perlawanan pembuka tirai tersebut.

Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah dijulang sendiri oleh pemain dan pengurusan kelab selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

Mengenai perlawanan tersebut, ia bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dan beroleh beberapa percubaan berbahaya di pintu gol lawan masing-masing.

Dua percubaan awal pasukan tuan rumah bagaimanapun sekadar menggegar gawang, masing-masing pada minit ke-4 dan ke-10 menerusi percubaan Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.

Percubaan berbahaya pertama daripada Kedah hadir pada minit ke-18 apabila rembatan kencang Tchetche Kipre berjaya ditepis keluar penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus mengatur gerakan dalam percubaan mereka mendapatkan jaringan sebelum JDT memecah kebuntuan gol pada minit ke-34 menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan yang terhasil daripada sepakan penjuru itu disempurnakan Safawi Rasid yang menerima hantaran dari Afiq Fazail di dalam kotak penalti.

Gol kedua tuan rumah diperoleh pada minit ke-67 apabila percubaan rendah Natxo Insa dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kedua-dua pasukan terus mengasak kubu lawan sehingga akhir perlawanan, namun keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Sebelum perlawanan, JDT turut menerima lima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual iaitu Penjaga Gol Terbaik, Farizal Marlias; Pertahanan Terbaik, Aidil Zafuan; Pemain Tengah Terbaik, Safawi Rasid; Jurulatih Terbaik 2020, Benjamin Mora dan Pasukan Terbaik 2020.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kenamaan lain yang hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League, Datuk Abd. Ghani Hassan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim. – K! ONLINE

COMMENTS