Kalau masuk politik boleh bantu anak seni

Kalau masuk politik boleh bantu anak seni

Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki berhasrat menyertai politik bagi membantu golongan penggiat seni.

Afdlin berkata, hasrat itu timbul selepas disarankan oleh seorang kenalan memandangkan dia juga kerap kali menyertai program kerja amal dan kemanusiaan.

“Saya ada terfikir juga mengenainya (menyertai politik). Saya banyak menyertai kerja-kerja menghulurkan bantuan dan sumbangan kemanusiaan, jadi ada kenalan yang menyarankan supaya saya menyertai politik.

“Menurutnya, sekiranya saya menyertai politik, saya boleh membantu dengan jangkauan yang lebih meluas,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Afdlin, tidak hanya menghulurkan bantuan kepada masyarakat, penyertaan dalam politik juga boleh menjadi suara yang mewakili penggiat seni dan industri.

“Bukannya saya tak boleh buat semuanya tanpa menyertai politik. Tapi, kalau ini adalah cara yang lebih berkesan dan mampu memberi manfaat, apa salahnya.

“Penggiat seni adalah golongan yang melihat sendiri apa yang berlaku di peringkat bawah atau asas. Jadi, secara tak langsung, kita tahu apa masalah yang wujud dan perlu diperbetulkan.

“Saya rasa, ini juga satu sebab kenapa perlu ada wakil daripada penggiat seni atau orang industri supaya nasib kita terbela,” katanya.

Afdlin antara selebriti tanah air yang sentiasa menghulurkan bantuan kemanusiaan dan melakukan kerja amal untuk membantu masyarakat.

Terakhir, dia dan pasukannya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang dan sempat menyelesaikan semua kerja bantuan sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari lalu.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2021/02/670057/kalau-masuk-politik-boleh-bantu-anak-seni

COMMENTS