“Kalau nak politikkan, baik suruh bubuh warna oren,”

“Kalau nak politikkan, baik suruh bubuh warna oren,”

Timbalan Ketua Wanita Amanah Kelantan Nik Faizah Nik Othman dipercayai orang pertama yang mencetuskan idea kempen #BenderaPutih bagi membantu golongan memerlukan ketika pandemik.

Bagaimanapun, berdepan dakwaan mahu menjadikannya sebagai propaganda politik bagi memburukkan kerajaan, dia tidak nampak lojik terhadap dakwaan itu.

Dia yang mesra dengan panggilan Jah berkata penggunaan warna bendera putih bersifat universal dan tidak melambangkan mana-mana parti.

“Satu dunia tahu warna putih ini lambang SOS, isyarat kesusahan. Kalau nak politikkan, baik suruh bubuh warna oren,” katanya, membandingkan dengan warna korporat Amanah.

“Lagipun, bukan suruh semua orang angkat bendera putih. Orang miskin yang terdesak sahaja angkat”.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor adalah antara pemimpin PAS yang menolak kempen #BenderaPutih (bendera putih), dan meminta penduduk negeri untuk meminta pertolongan melalui saluran rasmi.

Mengulas perkara itu, Jah berkata rakyat biasa mungkin tidak sependapat dengan Sanusi.

“Walaupun menteri besar Kedah menolak kempen #BenderaPutih ini, ramai penduduk Kedah yang menyambut baik kempen ini kerana rakyat sudah terdesak, mereka tidak pedulikan kecaman dan tomahan,” katanya.

Sementara itu, mengulas sambutannya kini, Jah berkata dia tidak menyangka perkara itu.

“Alhamdulillah syukur. Kempen ini memang bermanfaat dan memudahkan urusan bantuan oleh semua pihak. Bantuan tepat kepada sasaran.

“Kita akan berjaya harungi fasa satu, dua dan tiga (rancangan pemulihan negara) dengan berjaya.

“Insya-Allah,” katanya.

Malah, lebih manis lagi, katanya, anggota parlimen tidak kira daripada pihak kerajaan atau pembangkang sama-sama turun memberi bantuan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/581440

COMMENTS