“Kamu harap serban besar.. otak kosong,” tempelak veteran UMNO

“Kamu harap serban besar.. otak kosong,” tempelak veteran UMNO

Veteran Umno dilihat berang dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penolakan parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yasin membidas Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu supaya usah menjadi burung tiung.

“Jangan pandai komen. Umno tidak mahu kerjasama dengan Parti Bersatu.

“Kamu dahulukan contoh, terima AMANAH jadi rakan strategi Pas. Baru kami dalam Umno akan berkerjasama dengan parti Bersatu.

“Kamu harap serban besar.. otak kosong,” tempelak Zaharin, 69, terhadap Hadi, 74, yang juga Duta Khas ke Timur Tengah dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Pada 6 November lalu, Pas mempersoalkan pendirian Umno menolak Bersatu sedangkan parti itu boleh menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam sebagai rakan komponen dalam BN.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pas ke-67 di Terengganu, Hadi berkata, penolakan terhadap Bersatu tidak seharusnya berlaku kerana sehingga kini Pas teguh bersama prinsip Muafakat Nasional (MN) yang mahu bekerjasama dengan parti Melayu Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Jika Umno boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam membentuk kerajaan, mengapa tidak boleh bersama Pas dan Bersatu,” kata Hadi.

Dia juga menyangkal dakwaan bahawa Pas melupakan MN selepas menyertai PN bahkan menegaskan, asas penyatuan tiga parti Melayu iaitu Pas, Umno dan Bersatu sehingga dapat membentuk kerajaan kerajaan Persekutuan wajar dipertahankan.

Walau bagaimanapun, seperti gesaan Zaharin agar Pas menerima AMANAH sebagai rakan strategi, parti diwakili 18 anggota Dewan Rakyat itu umum dikenali bermusuh besar dengan AMANAH.

Bahkan, pemimpin dan pengikut tegas Pas memanggil AMANAH sebagai PAN sejak parti itu dilancarkan penubuhan pada 16 September 2015.

COMMENTS