KDNK Wilayah Utara dijangkakan susut sebanyak empat peratus

KDNK Wilayah Utara dijangkakan susut sebanyak empat peratus

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mencatatkan pelaburan sebanyak RM15.5 bilion di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), sekali gus melepasi sasarannya untuk tahun ini.

Jumlah itu juga meningkat sekali ganda berbanding sasaran awal NCIA sebanyak RM7 bilion.

Prestasi itu adalah hasil daripada insentif rangsangan perniagaan yang kukuh dan struktur cukai menarik yang diperkenalkan sebelum ini.

Sasaran mewujudkan peluang pekerjaan juga berjaya mencatatkan lebih daripada 23,000 pekerjaan berbanding sasaran awal hanya sebanyak 5,900.

Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara dijangkakan susut sebanyak empat peratus tahun ini

akibat pandemik COVID-19, NCIA berjaya melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif strategik berpandukan Pelan Pembangunan Strategik Koridor Utara (SDP) 2021-2025 untuk mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap sosioekonomi rakyat.

Oleh itu, ekonomi NCER diunjurkan akan kembali pulih ke tahap pra-pandemik pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata melalui fokus dalam penyedikan dan pembangunan (R&D), digitalisasi serta penubuhan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu, rakyat akan dapat merasakan pemulihan sosioekonomi mulai tahun depan.

Beliau berkata, pelbagai program modal insan NCIA terus membantu kelangsungan kehidupan rakyat.

Katanya, keutamaan NCIA pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) adalah mempercepat pelaksanaan SDP demi membantu meringankan beban rakyat yang sedang berdepan dengan suasana ekonomi tidak menentu.

“Kejayaan pelbagai projek, inisiatif serta program modal insan NCIA akan menjadi pemangkin untuk NCER menjadi Wilayah Ekonomi dan Pusat Teknologi Bertaraf Dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA ke-24.

Pada pertemuan itu, status dan kemajuan pelbagai projek dan program modal insan yang dilaksanakan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak telah dikemas kini.

Sebanyak 16 syarikat Bumiputera memberi komitmen pelaburan hampir RM500 juta dan 750 peluang pekerjaan diwujudkan di bawah program Dana Usahawan Bumiputera (DUB) hingga akhir bulan lalu.

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/11/754836/pelaburan-di-ncer-lepasi-sasaran-2020

COMMENTS