kecundang bermaruah

kecundang bermaruah

Nama Elly Mazlein antara yang diramalkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 berdasarkan populariti yang diraih, sejak tahun lalu.

Malah, ramai rakan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Fizz Fairuz, Nana Mahazan dan Haiza Hanafi menyangkakan tuah akan menyebelahi penyanyi, pelakon dan pengacara yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu.

Namun, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu tidak sangkut, biarpun berjaya membolosi empat kategori, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Rashidi Ishak menerusi drama Kampung People.

Nyata, tuah dan rezeki tertulis atas nama penyanyi Haqiem Rusli dijulang sebagai Bintang Paling Popular pada ABPBH 33 yang melabuhkan tirai, Jumaat lalu.

“Tahniah buat semua pemenang ABPBH 33. Yang tewas usaha lagi pada tahun mendatang.

“Bagi yang kecundang, jangan pula menangis di tepi sungai,” selorohnya.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia akan meneruskan survival seperti biasa selepas lebih dua dekad bergelar anak seni.

“Terima kasih untuk kata-kata indah dan semangat buat saya. Tak apalah, teruskan sokongan dalam apa juga yang saya lakukan walaupun bukan pertandingan.

“Dari kerendahan hati, saya berterima kasih kepada mereka yang mengundi saya.

“Saya amat terharu atas semangat dan ruang anda mengundi saya. Semoga Tuhan mempermudahkan urusan anda,” kata hos program Lagu Cinta Kita musim kedua itu.

Artis serba boleh yang terkenal dengan karakter Minah Selamat dalam drama Kampung People musim pertama dan kedua itu kini rancak mempromosikan single Empat Dara 2020 bergandingan dengan Faizal Tahir dan Zizi Kirana.

Malah, lagu berhantu itu turut dipersembahkan pada malam kemuncak ABPBH 33 secara eksklusif.

“Tak sangka idea spontan saya bikin video menyanyikan bait lirik lagu Empat Dara tular. Ayat ‘Haa masuk’ pun tular. Malah ramai yang sudi sahut cabaran menyanyikan bait lirik termasuk teman artis.

“Tanpa diduga, Faizal sudah fikirkan idea bernas untuk memberi nafas baharu pada lagu ini bersama pasukan kerjanya. Lebih menarik, Zizi turut serta dalam projek ini,” katanya.

Lagu Empat Dara 2020 diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music, malah video muzik lagu itu turut sohor dalam laman YouTube, baru-baru ini.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/11/754399/elly-kecundang-bermaruah

COMMENTS