Kediaman rasmi MB Kedah naik air

Kediaman rasmi MB Kedah naik air

Hujan lebat sebelah petang, hari ini menyebabkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon di sini, dinaiki air.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu susulan aliran air parit ke sungai agak perlahan.

“Ketika hujan lebat tadi, kebetulan paras sungai pun tinggi, aliran parit pun perlahan. Bagaimanapun air sudah surut. Tengok malam ini pula macam mana,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau berkongsi beberapa gambar di Facebook menunjukkan pekarangan kediaman rasmi itu dimasuki air.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataannya berkata, paras air di beberapa sungai dikhuatiri memberi kesan kepada kawasan rendah di sepanjang Sungai Padang Terap, Sungai Anak Bukit, Sungai Kedah dan Sungai Pendang.

Paras air Sungai Padang Terap di Kuala Nerang mencapai tahap amaran iaitu 17.03 meter (m) dengan aliran 184 meter padu sesaat (m³/s), sementara di Alator Pelubang meningkat kepada 8.75m berbanding paras normal 7.50m.

“Paras air di Sungai Pendang masih keadaan normal, namun dijangka akan mengalami kenaikan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

MADA akan mengambil tindakan dengan menyalurkan air lebihan ini melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada seperti dilakukan sejak 21 November lalu, melalui sistem pengairan Lana Bulu, Alor Changileh, Sistem Tengah dan Selatan serta sistem saliran dengan pembukaan ‘Pelubang Barrage’ di Kampung Kepala Batu dan Ampang Jajar di sini.

Kenyataan itu turut menjelaskan takungan air di Empangan Ahning kini berada pada paras 74.95 peratus, Empangan Pedu 86.97 peratus dan tiada pelepasan air dilakukan bagi kedua empangan itu.

Bagaimanapun, paras air di Empangan Muda meningkat kepada 111.2 peratus dan akan menyebabkan limpahan pada kadar 133.2 m³/s.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/645159/kediaman-rasmi-mb-kedah-naik-air

COMMENTS