Kejar sepupu dengan sabit

Kejar sepupu dengan sabit

Ugut mahu bakar sepupu apabila dinasihati berhenti dari menghidap dadah di dalam tandas di sebuah kedai makan di Bakau Tua, Penaga, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, sepupu penagih lelaki terbabit berusia 30 tahun yang bekerja di kedai makan itu menegur suspek supaya menghentikan tabiat menghisap dadah di dalam tandas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata teguran itu menyebabkan suspek berusia 45 tahun berang dan mengamuk sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek kemudian bertindak mengejar sepupunya namun mangsa lari menyelamatkan diri.

“Tidak lama kemudian suspek yang masih berang dengan sepupunya sekali lagi bertindak mengejar sepupunya dengan sebilah sabit sambil mengugut mahu membakar sepupu serta kedai makan itu,” katanya.

Jelasnya, sepupu suspek berjaya menyelamatkan diri selepas perbuatan suspek dihalang datuk saudara mereka berusia 73 tahun.

“Mangsa kemudian segera membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku kerana bimbang keselamatannya.

“Menurutnya, suspek adalah gelandangan serta tidak mempunyai kediaman tetap. Suspek sering datang ke tempat mangsa bekerja dan menggunakan tandas untuk menghisap dadah,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan diterima, polis menahan suspek pada jam 11.30 pagi tadi di lokasi kejadian dilaporkan.

“Polis turut merampas sebilah sabit yang digunakan suspek dalam insiden terbabit. Melalui semakan, suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/682606/sanggup-bunuh-sepupu-demi-dadah

COMMENTS