Kerajaan perlu sistematik dalam usaha menoktahkan kemiskinan

Kerajaan perlu sistematik dalam usaha menoktahkan kemiskinan. Baru-baru ini kerajaan melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai langkah untuk membantu isi rumah miskin dan B40 keluar daripada kemiskinan.

Ketika ini, negara mencatatkan sebanyak 126,372 isi rumah miskin tegar iaitu yang berdaftar di dalam eKasih dan terdapat 2.91 juta isi rumah berada di dalam kategori B40.

Justeru, IPR memfokuskan kepada penjanaan pendapatan rakyat menerusi contoh (template) yang diyakini dapat membantu objektif tersebut dan mampu mewujudkan ekosistem yang baik.

Bagi memastikan kemampanan IPR, kerajaan juga mensyaratkan mesti perlu ada pertanggungjawaban bagi setiap penerima IPR dan wajib menyertai Koperasi Basmi Miskin Tegar (Kobmit).

Akhbar ini menyokong langkah dan usaha kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan di negara ini dengan kaedah memberi golongan miskin joran bagi membolehkan mereka mencari rezeki yang berpanjangan dan bukan sekadar memberi ikan.

Bagaimanapun, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pemantauan yang berterusan bagi memastikan IPR tidak mati di tengah jalan.

Berdasarkan pengalaman, sudah banyak projek-projek kerajaan yang tidak mencapai matlamat seperti yang disasarkan.

Ini disebabkan oleh kegagalan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau, membuat penilaian semula, merancang dan melaksana dengan berkesan.

Selain itu, golongan fakir miskin yang menyertai program itu juga perlu bersedia untuk melakukan perubahan sikap dan minda.

Ini kerana kita tidak mahu rakyat lebih mengharapkan bantuan tunai yang lebih mudah berbanding dengan cara yang lebih berdikari.

Untuk itu, akhbar ini mencadangkan agar IPR perlu mempunyai satu ekosistem atau sistem sokongan yang menyeluruh bagi melengkapkan para peserta dengan pelbagai kemahiran serta motivasi bagi menjayakan usaha tersebut.

Sebagai contoh, kerajaan boleh menggunakan model Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang telah terbukti berjaya membentuk disiplin yang tinggi dalam kalangan peminjam untuk membayar balik hutang mereka.

Selain itu, IPR juga perlu mewujudkan institusi yang sama seperti AIM supaya segala perancangan untuk menoktahkan kemiskinan itu dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan.

BACA JUGA:

Usul UMNO tak pertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden diluluskan KDN

Seramai 42,909 mangsa banjir di 234 PPS untuk 3 negeri

JDT belasah Negeri Sembilan 7-0

+ posts