Ketua Pembangkang hentikan politik melampau

Ketua Pembangkang hentikan politik melampau

Pendekatan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendengar pandangan semua pihak termasuk blok pembangkang ketika merangka Belanjawan 2021, wajar diberi pujian, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tindakan itu antara lain mempamerkan sikap keterbukaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendengar pandangan pelbagai pihak demi kepentingan rakyat.

 

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ia jelas bertentangan dengan pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng ketika masing-masing menjawat jawatan Menteri Kewangan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

DISYORKAN UNTUK ANDA
Belanjawan 2021: Kejayaan besar atas muafakat demi rakyat
‘Titik ujian kesepakatan 222 Ahli Parlimen’
PARLIMEN: Sesi Dewan Rakyat dilanjutkan hingga 3 petang
Belanjawan 2021: Sokong ikut keputusan parti, bukan naluri

“Saya ingin tanya Anwar, dia tidak pernah berkongsi maklumat, data dan statistik dengan pembangkang. Guan Eng pernah jadi Menteri Kewangan tetapi beliau tidak mengambil sikap terbuka seperti ini.

“Bagaimanapun, kita lihat bagaimana Menteri Kewangan di bawah Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap terbuka memanggil semua Ahli Parlimen pembangkang untuk mendengar pandangan mereka.

“Saya yakin ada pandangan sudah dimasukkan dalam pembentangan termasuk dalam penggulungan yang mana beberapa penambahbaikan dibuat bagi memenuhi permintaan rakyat,” katanya pada sidang media selepas siri lawatannya di Parlimen Gombak dekat sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) dilapor memutuskan tidak mengadakan undi belah bahagi bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar kerana ingin memberi tumpuan kepada perbahasan peringkat jawatankuasa.

Anwar dilapor berkata, PH sama sekali tidak akan memberi laluan mudah untuk meluluskan RUU berkenaan dengan ketetapan itu akan dibuat menerusi bacaan ketiga selepas sesi penggulungan oleh setiap kementerian, mulai esok.

Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion yang juga RUU Perbekalan pertama dibentang di bawah pentadbiran diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diluluskan di peringkat dasar, melalui suara majoriti di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Azmin berkata, gesaan keras pembangkang sebelum ini untuk menolak Belanjawan 2021 dilihat sebagai cubaan menghalang usaha kerajaan membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.

“Untuk mengambil sikap terlalu keras menolak Belanjawan seolah-olah mereka tidak mahu kerajaan membantu peniaga kecil, mereka tidak mahu kerajaan menyediakan peruntukan untuk rakyat dalam keadaan sukar ini.

“Apakah itu tujuan mereka? Jadi saya berharap Pakatan Harapan (PH), termasuk Ketua Pembangkang hentikan politik melampau kerana rakyat sedang menilai adakah mereka jujur untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong dan bersama kerajaan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, menandatangani papan projek Ubahsuai Surau Al- Hidayah di Kampung Nakhoda hari ini. Turut hadir Pengerusi Surau Al- Hidayah Ishamudin Noordin.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/759691/anwar-guan-eng-tak-pernah-dengar-pandangan-pembangkang-azmin

COMMENTS