‘King’ jadi pilihan model Perodua paling laris di Malaysia. Perodua mencatatkan jualan 127,343 kenderaan dengan lonjakan 30 peratus daripada 97,290 unit yang dijual dari Januari hingga Jun 2021 berikutan permintaan kukuh untuk kenderaan pada separuh pertama 2022 disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.
Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Perodua Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti Perodua Axia sebanyak 29,183 unit dan Perodua Bezza sebanyak 28,719 unit.
Walaupun begitu, Perodua Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023.
“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.
“Bercakap mengenai pengecualian cukai jualan, pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan diambil.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tarikh akhir penghantaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lalu disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.
Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, ia menjual 21,164 unit.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.
Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.
“Bagaimanapun, isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan kami memohon agar pelanggan dapat memahami keadaan ini,” katanya.
“Kami ingin memohon maaf kerana pelanggan kami terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran,” katanya.
Katanya, langkah ini termasuk bekerjasama dengan pembekal dan dalam beberapa kes tertentu, Perodua turut menyediakan kakitangannya untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti terus mengalir.
“Kami berharap isu tenaga kerja ini diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya.
Mengenai kekurangan alat ganti, komunikasi dengan pembekal dan rakan kongsi masih berterusan untuk mencari komponen alternatif.
Beliau berkata, di sebalik isu ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit.
BACA:
Tak mahal pun RM10,000 makan stik Salt Bae, kata Aeril Zafrel