KJ tidak akan ambil suntikan Pfizer kerana sudah terbukti berkesan

KJ tidak akan ambil suntikan Pfizer kerana sudah terbukti berkesan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengakui wujud tanggapan sinis masyarakat bahawa orang kenamaan dan barisan hadapan kononnya mengambil vaksin yang baik iaitu Pfizer.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, tanggapan sinis sedemikian wujud sejak beberapa hari lalu apabila bekalan vaksin pertama dari Amerika Syarikat (AS) itu tiba di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengambil pendirian berbeza, dengan menawarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin, selain Pfizer bagi mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap setiap keberkesanan pelalian yang diluluskan.

“Saya sedar mengenai pandangan dan pendapat rakyat apabila Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kita, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), Menteri Besar serta petugas barisan hadapan mula terima vaksin Pfizer.

“Mereka mula yakin Pfizer kerana tiada kesan sampingan direkodkan sehingga kini, tetapi rakyat kata, memanglah, sebab ambil barang baik.

“Justeru, saya buat keputusan untuk tidak ambil suntikan Pfizer kerana sudah terbukti selamat dan berkesan, sebaliknya biarlah ada dalam barisan Jemaah Menteri yang dapat vaksin lain.

“Maka, saya akan mendapatkan vaksin seterusnya yang diluluskan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA), sama ada Sputnik, AstraZeneca atau Sinovac, saya akan ambil,” katanya pada sidang media sempena penghantaran Sinovac, hari ini.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu, mendarat pada kira-kira 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Khairy turut mengakui wujud keraguan dalam kalangan masyarakat terhadap suntikan vaksin yang dibawa masuk ke Malaysia, mencakupi aspek keselamatan, keberkesanan dan kandungan pelalian.

“Ada yang nak Pfizer, ada juga nak Sinovac sebab ia menggunakan pendekatan tradisional, iaitu dengan virus yang dinyah aktif untuk membina sistem pertahanan badan manusia.

“Pendekatan digunakan Sinovac ialah bercorak analog, berbanding teknologi pengutus asid rebonukleik, mRNA yang digunakan dalam penghasilan Pfizer, justeru saya sudah bercakap dengan pengamal perubatan.

“mRNA yang menjadi sandaran penghasilan Pfizer bagus sebab keberkesanan tinggi dan selamat, maka saya tawarkan diri bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap NPRA.

“Jika NPRA kata ia selamat, ambillah vaksin itu dan itu perkara yang akan saya buat, dengan menawarkan diri bagi mendapatkan suntikan seterusnya diluluskan NPRA,” katanya.

Sejak dibuka kepada orang ramai, Rabu lalu, Khairy berkata pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin kini membabitkan seramai 1,183,779 individu, setakat jam 7 pagi tadi.

Selain itu, katanya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, termasuk di peringkat negeri melakar perkembangan baik apabila seramai 3,580 sudah menerima suntikan vaksin, setakat semalam.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/790700/kj-tawar-diri-ambil-suntikan-vaksin-selain-pfizer

COMMENTS