KKM kaji, dos penggalak mungkin jadi pelengkap vaksinasi

KKM kaji, dos penggalak mungkin jadi pelengkap vaksinasi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan bahawa penerima dos penggalak vaksin COVID-19 pula akan diletakkan di bawah kategori lengkap vaksinasi.

Perkara tu dalam pertimbangan memandangkan wujud risiko gelombang baharu seperti kemunculan varian Omicron, penurunan efikasi vaksin dalam badan penerima, serta rakyat yang mula leka dan alpa kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Perkata itu akan diputuskan selepas Malaysia melihat dan menilai pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan langkah tersebut, jelas Ahli Parlimen Rembau.

“Soalan dia, sama ada kita akan buat keputusan, kalau tidak ambil dos penggalak kira tak lengkap? Kita sedang kaji pengalaman di negara lain, ada negara yang buat keputusan bahawa dos penggalak ini diperlukan untuk seseorang dikategorikan sebagai penerima dos lengkap, atau penerima vaksinasi lengkap.

“Kalau kita dapati kes meningkat, dan kemasukan ke hospital meningkat, disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak, dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi lengkap itu penerima series primer, dan dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan yang sama.

“Tapi belum lagi,” kata Khairy ketika ditemubual Editor Astro Awani, Essan Yahya, dalam Agenda AWANI – Dos Penggalak Sebagai Perisai – yang disiarkan pada malam Ahad.

Pada 24 November lepas, Menteri Kesihatan dilaporkan sebagai berkata, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) telah mengesyorkan dos penggalak melibatkan tiga jenis vaksin diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

Khairy berkata, dos itu ialah vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac, dengan keutamaan penerima mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara.

Jelas khairy lagi, vaksin dos penggalak diberikan di fasiliti pengamal perubatan swasta atau di luar fasiliti kesihatan swasta (off-site), dan ia juga diberikan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan terpilih, serta aktiviti jangkau luar (outreach).

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan mengakui, ancaman terbesar terhadap usaha pelaksanaan dos penggalak ini adalah – ‘WhatsApp group’ warga emas.

Menteri Kesihatan berkata, amat sukar untuk kerajaan memantau penularan berita palsu dalam aplikasi tersebut, sehingga ia mampu memberi risiko terhadap usaha mengekang gelombang baharu COVID-19.

“Ancaman paling besar program Booster ni adalah WhatsApp group warga emas. Sebab macam-macam berita palsu dalam tu. Mak saya sendiri nak ambil booster dose minggu depan, dia hantar dekat saya macam-macam diterima. Selamat ke, ada kesan sampingan ke, perlu ke ambil… macam-macam.

“Jadi kita faham (penjelasan) sains semua ini, mungkin ramai sukar untuk memahaminya, kena sampaikan dengan kaedah mudah untuk difahami. Mereka kena keluar dari WhatsApp group tu,” katanya secara berseloroh.

COMMENTS