Kos Umrah dijangka meningkat – Menteri Agama

Kos Umrah dijangka meningkat – Menteri Agama

Kos menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit berikutan pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi akibat pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan fizikal seperti had muatan bilik hotel dan bas.

“Sebagai contoh, jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang saja, berbanding sebuah bilik boleh memuatkan empat hingga enam orang sebelum wabak COVID-19 melanda.

“Begitu juga ketika jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

Jemaah haji perlu tunggu 14 hari untuk tunai umrah kali kedua
“Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan.

Pergerakan ketika melaksanakan tawaf dan sai perlu mengikut SOP ketat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, peraturan berkenaan turut memberi bayangan kemungkinan ada kesan terhadap kos mengerjakan umrah.

“Oleh itu, kita berharap semua yang berhasrat menunaikan umrah, perlu akur dan menerima sebarang perubahan baharu berkenaan dengan hati terbuka.

“Jemaah harus sentiasa mematuhi SOP, terutama penjarakan fizikal sepanjang tempoh melaksanakan umrah, demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara, termasuk Malaysia, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.

Zulkifli berkata, kebenaran itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

Namun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu makluman rasmi dan terperinci daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membenarkan rakyat negara ini menunaikan ibadah umrah.

“Jemaah dari Malaysia yang ingin melaksanakan ibadah umrah perlu bersedia dengan perubahan baharu yang bakal ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Pihak kami difahamkan Kerajaan Arab Saudi sedang meneliti peraturan terperinci ke atas sesebuah negara, dengan mengambil kira permasalahan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua pihak dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum reda di serata dunia,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/851669/kos-umrah-dijangka-meningkat-sedikit-zulkifli

COMMENTS