LCS : Dakwaan Najib salahkan PH akhirnya dijawab oleh Mat Sabu. Kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang ditempah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap dalam tempoh satu hingga dua tahun, disifatkan tidak realistik kerana reka bentuk terperinci kapal yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 itu, hanya siap kira-kira 80 peratus.
Dalam satu kenyataan bersama, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, mendakwa reka bentuk terperinci berkenaan perlu mendapat kelulusan Naval Group dari Perancis selaku pihak berkuasa reka bentuk sebelum pembinaan kapal, namun firma itu masih mendapat bayaran.
“Bagi tujuan kawalan mutu, reka bentuk LCS yang dihasilkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tertakluk kepada kelulusan Naval Group, diikuti pemeriksaan dan pengesahan oleh Bureau Veritas, sebuah badan bebas antarabangsa bagi memastikan reka bentuk kapal perang menepati syarat seperti yang ditetapkan dalam kontrak.
“Menurut kontrak asal, fasa reka bentuk terperinci sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016, namun fasa itu berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai.
“Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” katanya.
Semalam, Hishammuddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, memaklumkan kapal pertama LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Katanya, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi enam kapal LCS itu untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.
Kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu turut menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa projek LCS terbengkalai kerana kerajaan PH menangguhkan projek itu pada September 2019 sambil menyifatkan ia hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.
Katanya, pada 11 Februari 2020, PH membuat keputusan berhubung hala tuju projek itu, berdasarkan laporan siasatan LCS oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu memutuskan mereka yang terbabit dengan salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan, pasukan pengurusan BNS dirombak dan projek itu dianggap sebagai projek sakit serta akan menerima suntikan dana bagi mengganti semula dana yang didakwa diseleweng.
“Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.
“Najib sedang cuba mengelirukan rakyat dan menyalahkan PH, sedangkan beliau sendiri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (bekas Timbalan Perdana Menteri) yang bertanggungjawab atas kegagalan projek LCS, kerana meluluskan projek ini tanpa rundingan teliti dengan pakar terdahulu,” dakwanya.
BACA:
Aksi mesra Shah Jaszle dengan Emma Maembong undang kritikan ramai
Masuk kereta jangan terus start enjin biar fuel pump naik dulu, ini penjelasan
Ryan Bakery dedah pengalaman ‘gila’ muncul dalan Sepahtu Reunion Live