Lori simen langgar lari, warga emas maut

Lori simen langgar lari, warga emas maut

Polis sedang mengesan sebuah lori simen yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan kenderaan itu dan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki warga emas di Jalan Tasek Gelugor di sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Zakaria Othman, 74, cedera parah, namun disahkan meninggal dunia malam tadi di Hospital Seberang Jaya (HSJ) iaitu kira-kira enam hari selepas kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku ketika motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangi mangsa dalam perjalanan dari arah Tasek Gelugor ke Pekan Darat.

BACA JUGA : Isteri Remy Ishak rela ‘dimadukan’

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan sehingga mangsa mengalami kecederaan parah pada badan.

“Lori itu tidak berhenti, malah pemandunya terus melarikan diri selepas kejadian tersebut.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi ketika menerima rawatan di HSJ,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan pemandu lori berkenaan sedang giat dijalankan dan pihaknya meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 018-2881 424 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai dari sebuah stesen minyak berdekatan lokasi kejadian didapati merakamkan kejadian tersebut.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/02/warga-emas-maut-lori-simen-langgar-lari/

COMMENTS