Mahasiswa calon termuda dari Pakatan Harapan

Mahasiswa calon termuda dari Pakatan Harapan

Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai calon blok tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR sebentar tadi mengumumkan Farzana Hayani Mohd Nasir yang berusia 21 tahun sebagai calon termuda PH.

Farzana yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai merupakan Ketua Srikandi Keadilan Melaka.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam itu juga adalah pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau.

Untuk rekod, DUN Sungai Rambai dimenangi calon BN, Hasan Abd Rahman pada PRU-14 dengan mengaut 5,088 undi menewaskan calon PKR, Azalina Abdul Rahman dan Zakariya Kasnin (Pas) dengan masing-masing mendapat 3,419 dan 1,405 undi.

Farzana antara 11 calon dari PKR yang akan bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini selain sembilan dari AMANAH dan lapan calon diwakili DAP.

Kesemua 28 calon terbabit akan bertanding atas tiket PH.

COMMENTS