Mahkamah Persekutuan tolak permohonan mencelah Najib

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan mencelah Najib

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya.

Ia membabitkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 yang menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK berhubung pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Panel Hakim Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Puan Sri Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof, membuat keputusan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu berikutan pemohon tidak terkesan secara langsung dengan semakan berkenaan.

Azahar berkata, panel itu juga berpendapat Najib tidak akan terkesan dengan keputusan daripada permohonan semakan yang dikemukakan oleh Azilah itu.

“Pada pendapat kami, pihak Timbalan Pendakwa Raya dan Azilah sudah mencukupi untuk membantu mahkamah dalam permohonan semakan ini,” katanya.

Pada masa sama, panel hakim membenarkan peguam Najib hadir dalam prosiding permohonan difailkan Azilah itu sebagai pemerhati dalam permohonan semakan berkenaan.

Sebelum itu, Azahar berkata, permohonan semakan yang dikemukakan Azilah adalah terhadap keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 yang mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013.

Mahkamah Rayuan pada tarikh itu membenarkan rayuan dikemukakan serta seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Sirul Azhar Umar untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun 2009.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 mendapati mereka bersalah kerana membunuh wanita itu dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Azahar berkata, permohonan itu dibuat mengikut peruntukan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

“Permohonan dibuat Aziah adalah hendak mendapatkan satu perintah untuk Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan mahkamah ini sebelum ini dan memerintahkan kes ini dibicarakan semula,” katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762777/mahkamah-persekutuan-tolak-permohonan-mencelah-najib

COMMENTS