Mahkamah putuskan sekolah vernakular sah ikut perlembagaan

Mahkamah putuskan sekolah vernakular sah ikut perlembagaan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Kelantan memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan.

Peguam T Gunaseelan berkata, hakim Roslan Abu Bakar semalam menyatakan kewujudan sekolah vernakular mesti dibaca dalam konteks sejarah.

“Hasrat penggubal Perlembagaan Persekutuan adalah mengekalkannya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan. Hasrat nenek moyang kita ialah kita hidup secara harmoni,” kata Roslan ketika menolak saman yang difailkan oleh Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia.

Kumpulan itu menerusi Presidennya, Azizee Hasan, memfailkan saman terbabit tahun lalu bagi mencabar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan.

Azizee yang diwakili Shaharudin Ali menamakan menteri pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Mahkamah putuskan sekolah vernakular sah ikut perlembagaan

Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil sebagai pencelah, berkata, hakim tidak memerintahkan kos kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

Pihak lain yang dibenarkan menjadi pencelah ialah MCA dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Pada 30 Dis 2021, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali turut menolak saman sama yang difailkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena).

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan, yang membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan menyatakan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia.

Dalam penghakiman bertulisnya, Nazlan berkata, sekolah vernakular sudah lama diiktiraf dalam kerangka perundangan sistem pendidikan, bahkan sebelum Merdeka dan Perlembagaan Persekutuan digubal.

Nazlan, yang kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan berkata, ini terbukti dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan Ordinan Pelajaran 1957.

Katanya, selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sekolah vernakular diberi pengiktirafan sewajarnya di bawah Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Beliau berkata, pelaksanaan hak Perlembagaan ini oleh kerajaan bukan terhad kepada pembelajaran Bahasa Tamil dan Mandarin, tetapi turut diperluaskan kepada penggunaannya sebagai bahasa pengantar.

Oleh itu katanya, kerajaan melalui Akta Pendidikan terus memelihara dan mengekalkan penggunaan serta kajian bahasa masyarakat di negara ini.

GPMS, Mappim dan Gapena kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

BACA:Pengeluaran Khas KWSP 2.0 bakal dilancarkan?

Taman tema Upin & Ipin yang pertama bakal dibuka di Cyberjaya

Lelaki ini hampir kena lempang dengan Aaron Aziz, ini puncanya…

+ posts