Majlis perkahwianan dalam banjir

Majlis perkahwianan dalam banjir

“Alhamdulillah, kami dapat melangsungkan perkahwinan walaupun dalam banjir, selain turut dibawa menaiki kenderaan polis untuk masjlis akad nikah,” luah pengantin perempuan, Nor Aishah Ghazali, 26.

Dia dan pasangan, Wan Muhammad Ridhwan Wan Yusoff, 20, selamat diijabkabul dengan sekali lafaz di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau dikenali sebagai Masjid Beijing, di sini, pada 12 tengah hari tadi.

Nor Aishah berkata, mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan sejak dua bulan lalu dan mengakui sudah meramalkan banjir bakal berlaku, namun majlis tetap diteruskan kerana menjangka tarikh yang dipilih selamat daripada fenomena bah.

 

“Bagaimanapun, ramalan kami meleset apabila banjir gelombang kedua melanda selain turut membanjiri rumah saya di Kampung Kubang Rambutan, di sini, sejak dua hari lalu.

“Sejujurnya, saya berasa sedih dan risau majlis tidak dapat diteruskan, namun kami mengambil keputusan berpindah ke rumah kakak di Gual Tinggi, dan meneruskan majlis akad nikah di lokasi lain.

“Alhamdulillah, walaupun dalam hujan renyai-renyai kami tetap meredah banjir sejauh 500 meter menaiki kenderaan polis untuk ke masjid,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Nor Aishah berkata, hanya keluarga terdekat termasuk pihak lelaki yang menghadiri majlis akad nikah itu, malah mereka turut berbaju kurung berjalan kaki mengharungi banjir.

“Susulan banjir ini, saya dan suami mengambil keputusan melaksanakan perkara wajib sahaja dan menjamu selera secara ala kadar sahaja untuk tetamu yang juga ahli keluarga.

“Nasib baik, pihak yang menguruskan pelamin dan barang basah untuk majlis kenduri memahami situasi yang berlaku dan membenarkan saya membatalkan tempahan dengan mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur majlis berjalan lancar dan kami kini sah menjadi suami isteri selain menganggap perkahwinan musim tengkujuh ini sebagaI satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655203/syukur-majlis-kami-berjalan-lancar-dalam-banjir

COMMENTS