Malaysia tunggu keberkesanan vaksin Covid-19

Malaysia tunggu keberkesanan vaksin Covid-19

Malaysia akan meneliti kesan sampingan dan keberkesanan vaksin Covid-19 yang akan digunakan pesakit di United Kingdom (UK), minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh tiga bulan penggunaan di negara berkenaan memberi ruang kepada Malaysia untuk meneliti dan mengkaji keberkesanan vaksin itu.

Menurutnya, vaksin yang digunakan di UK masih belum didaftarkan dengan badan kesihatan antarabangsa kerana digunakan dalam keadaan darurat.

“Di Malaysia kita mempunyai akta dan vaksin yang mahu digunakan perlu menjalani ujian keberkesanan dan kesan sampingan selain didaftarkan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika tempoh tiga bulan pertama kurang kesan sampingan kepada pengguna di UK, (maka) ini akan menyakinkan kita menggunakan vaksin berkenaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

UK dijangka menggunakan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang sudah diluluskan untuk kegunaan umum mulai minggu depan.

Ia menjadikan UK sebagai negara Barat pertama yang bakal menggunakan vaksin berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata, vaksin yang akan diterima Malaysia kelak perlu didaftar dan kini masih menjalani ujian klinikal fasa tiga dan sebarang keputusan dibuat berdasarkan data diperoleh menerusi ujian berkenaan.

Dalam pada itu, KKM sudah mengatur langkah strategik untuk berdepan dengan banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sudah meneliti aspek yang akan digunakan sekiranya banjir berlaku bagi mengelak penularan Covid-19.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648660/malaysia-tunggu-keberkesanan-vaksin-covid-19-metrotv

COMMENTS