Mangsa buli alami kecederaan dalaman, sedang dirawat di hospital

Mangsa buli alami kecederaan dalaman, sedang dirawat di hospital

Pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar yang menjadi mangsa buli rakan setingkatan, sedang dirawat di sebuah hospital di Selangor.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa kini dalam pemantauan doktor namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor, pelajar itu mengalami kecederaan yang diklasifikasikan sebagai ‘soft tissue injury’ atau kecederaan tisu lembut dalam badan.

BACA JUGA : Hina banduan, warganet kecam pegawai penjara

“Keadaannya okey dan stabil namun dia masih dirawat di hospital untuk pemantauan doktor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, bapa mangsa juga telah membuat satu laporan polis di Selangor berhubung kejadian menimpa anak lelakinya.

“Kita telah pun mengambil keterangan mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu Mior Faridalatrash memberitahu, suspek kes buli membabitkan enam pelajar lelaki tingkatan satu yang ditahan semalam telah dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Katanya, tiga pelajar lelaki berusia 13 tahun dan seorang pelajar berusia 15 tahun pula ditahan malam ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk diambil keterangan.

“Kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Video tersebut mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.

COMMENTS