Mangsa ditipu kemudian dirompak

Mangsa ditipu kemudian dirompak

Seorang bekas kontraktor yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menipu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merompak seorang warga emas lelaki menggunakan sebilah pisau tiga bulan lalu.

Soh Kee Hui, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap Ong Ah Seng, 65, dengan cara mendatangkan ketakutan sehingga mendorong mangsa menyerahkan sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM35.

 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Manis 2, Taman Bukit Segar, Cheras, di sini pada 12.20 tengah hari, 4 September lalu, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali hingga kes selesai.

Peguam R Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga.

“Sebelum ini, tertuduh merupakan seorang kontraktor, namun selepas pandemik Covid-19 melanda, tertuduh telah hilang pekerjaan dan kini bekerja sebagai jurujual pakaian dalam talian,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri ke balai polis sekali setiap bulan dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes.

 

Pada Oktober lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu seorang warga emas kononnya mangsa akan dihadiahkan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios membabitkan kerugian RM8,000.

Media sebelum ini melaporkan polis Selangor menyelesaikan 46 kes tipu menang peraduan yang berlaku di pasar raya di sekitar Selangor dengan penahanan seorang lelaki berumur 41 tahun pada 17 Oktober lalu yang didakwa menjalankan kegiatan penipuan membabitkan kerugian RM456,542.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Muhamad Yazid Muhammad Yew dilaporkan berkata suspek mempunyai dua kes jenayah lampau membabitkan kesalahan menceroboh selain pernah dipenjarakan selama tujuh tahun di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648973/merompak-pula-selepas-didakwa-menipu

COMMENTS