Masjid Iktikaf: Gunakan 11 jenis kayu untuk membinanya

Masjid Iktikaf: Gunakan 11 jenis kayu untuk membinanya. Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah di Pasir Tumboh di sini menarik perhatian kerana keunikannya yang dibina 100 peratus menggunakan kayu hutan.

Pembinaan masjid itu menggunakan 11 jenis kayu termasuk tembesu, jembal, mahagoni, manggis, kelat, sentang, kelat dan medang sekali gus membuatkan ia nampak istimewa selain memiliki nilai estetika seni bina yang tersendiri.

Menurut Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Mohd Fikri Mohd Kasim, 47, pembinaan masjid kayu itu bermula pada Julai tahun lalu dan mendapat sentuhan daripada tukang perabot profesional yang juga sahabatnya iaitu Mohd Amin Jusoh.

Katanya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membina sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu disebabkan keindahan pembinaannya mengikut konsep seni bina tradisi Melayu.

“Sebaik membuka pusat pengajian Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah ketika pandemik COVID-19, pertemuan tanpa dirancang dengan sahabat saya dan pada ketika itu menyuarakan hasrat kepadanya dan tidak menyangka dia sanggup merealisasikan impian saya.

“Yang uniknya masjid yang dibina ini tidak menggunakan pelan, sebaliknya ia dibina menggunakan ilham yang datang dari sahabat saya sendiri.

“Kebiasaannya, Mohd Amin menghabiskan masa selama 12 jam sehari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan 11 malam sehingga 3 pagi untuk menyiapkan masjid ini secara berperingkat kerana pada waktu itu Allah SWT mendatangkan ilham kepadanya.

“Alhamdulillah setelah lapan bulan melalui proses pembinaan secara berperingkat, masjid ini mula digunakan awal bulan ini untuk pelajar tahfiz menunaikan solat lima waktu selain program diadakan.

“Ruang solat masjid ini mampu memuatkan hingga 120 jemaah selain ruang selasar atau serambi (ruang terbuka) di tingkat bawah boleh memuatkan hingga 100 jemaah dan menjadikan keseluruhan masjid dua tingkat ini mampu memuatkan hingga 220 jemaah pada satu-satu masa,” katanya ditemui di Pasir Tumboh, semalam.

Mohd Fikri berkata, jika diikutkan pembinaan masjid berkenaan mungkin mencecah hampir jutaan ringgit disebabkan kayu yang digunakan berkualiti tinggi.

“Bagaimanapun sahabat saya ini tidak meminta bayaran sebaliknya menggunakan kepakaran yang dimiliki dan ikhlas membina rumah ibadat ini bagi kegunaan anak-anak tahfiz yang dianggap menjadi bekalan untuknya di akhirat kelak.

“Namun untuk menampung kos pendawaian serta pengangkutan mengangkat kayu dari hutan selepas ditebang yang kemudiannya akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan sebelum dibawa ke lokasi pembinaan selain upah tukang memerlukan saya mengeluarkan kewangan yang kebanyakannya hasil sumbangan orang ramai mahupun individu persendirian,” katanya.

Bagaimanapun masjid berkenaan baru 90 peratus disiapkan disebabkan tempat mengambil wuduk belum dibina selain perlu melalui proses pengindahan.

BACA JUGA:

Setiausaha Agung PBB nyatakan hak wanta di seluruh dunia semakin terhakis

Banjir Muar: Penternak Arnab menanggung kerugian sebanyak RM30,000

Dewan Rakyat: Tumpukan kepada kesihatan mental, inisiatif bantu pembeli rumah hari ini

+ posts