‘orang luar dilarang masuk kampung kami’

‘orang luar dilarang masuk kampung kami’

“Kami terpaksa memasang semula sekatan bagi menghalang orang luar masuk kampung berikutan penularan Covid-19,” kata Penghulu Orang Asli Pos Tuel, Halim Sharif.

Katanya, rata-rata masyarakat Orang Asli sekitar pos itu bimbang dengan penularan wabak dan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Dia berkata, sebelum ini mereka membuat sekatan selama lima bulan sebelum dibuka bulan lalu kerana Covid-19 terkawal tetapi kebelakangan meningkat semula.

“Kami bersama penduduk bersepakat mengambil langkah memasang semula penghalang jalan masuk kampung kami bagi menghalang kebebasan orang luar keluar masuk setiap hari.

“Kebanyakan penduduk bersama ahli keluarga juga patuh kepada arahan kerajaan supaya berkurung dalam rumah elak jangkitan wabak bahaya itu,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel, dekat sini, hari ini.

Halim berkata, kampung Orang Asli sekitar Pos Tuel menjadi laluan orang ramai khususnya pekerja ladang rakyat berhampiran.

“Orang Asli rela tidak keluar ke bandar Gua Musang untuk membeli barang keperluan kerana takut jangkitan wabak.

“Hari ini dikuat kuasa pula PKP di seluruh Kelantan menambah kebimbangan penduduk untuk keluar rumah dan kawal ketat anak-anak,” katanya.

Sementara itu, pengawal sekatan, Sita Ali, 23, berkata, dia bertugas ikut arahan ketua kampung berdasar peraturan ditetapkan ketika pelaksanaan PKP bermula hari ini

“Ada dua orang ditugaskan mengawal orang ramai keluar masuk kampung ini sepanjang hari mulai jam 8 pagi hingga 6.30 petang.

“Selepas jam 6.30 petang, laluan ditutup dan jika ada kejadian kecemasan perlu minta kebenaran ketua kampung untuk membuka sekatan,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/664738/tak-boleh-sesuka-hati-masuk-kampung-kami

COMMENTS