Pakar pergigian saran jaga gigi anak-anak waktu PKP

Pakar pergigian saran jaga gigi anak-anak waktu PKP

“DAHSYATKAN gigi kanak-kanak waktu PKP!” inilah dialog yang selalu menjadi masalah doktor gigi semasa merawat gigi sewaktu PKP.
PKP atau dikenali sebagai pergerakan kawalan diperketatkan adalah salah satu usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengawal penyebaran wabak Covid-19.

Semenjak akhir tahun 2019 sehingga kini, wabak Covid-19 masih belum lagi menemui jalan keluar.

Sejak itu juga pelbagai agensi termasuk kerajaan ataupun swasta menukar landskap pekerjaan daripada bekerja di pejabat secara bersemuka kepada bekerja secara dalam talian di rumah.

Kanak-kanak juga tidak terkecuali terkesan dengan PKP ini.

Kanak-kanak dilarang ke sekolah tetapi diarahkan duduk di rumah bagi mengurangkan perkumpulan beramai-ramai bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini. Malah, pembelajaran dan pengajaran juga sudah setahun dilakukan secara maya.

Secara kebiasaannya, setiap tahun Bahagian Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Kesihatan Gigi akan menjalankan pemeriksaan dan perawatan gigi dari sekolah ke sekolah setiap tahun.

Namun disebabkan PKP, kanak-kanak menghabiskan semua masa mereka di rumah bersama ibu bapa atau penjaga.

Di sinilah bermulanya kerosakan gigi seandainya ia tidak dijaga dengan baik. Gigi yang rosak akan memberi kesan biologi, emosi dan psikososial kepada kanak-kanak. Memberus gigi dengan betul adalah antara cara menjaga kesihatan gigi agar ia kekal sihat.

Ibu bapa hendaklah mengajar dan mendidik anak tentang kepentingan memberus gigi. Terangkan kepada anak-anak kebaikan mempunyai gigi yang cantik dan sihat dengan menggunakan gaya bahasa dan cara yang sesuai untuk umur mereka.

Pada masa yang sama, terangkan juga kepada anak-anak tentang penyakit gigi seandainya gigi tidak diberus dan dijaga dengan baik.

Ibu bapa juga boleh menggunakan permainan kanak-kanak seperti set permainan doktor gigi, berus gigi atau patung seperti teddy bear. Ibu bapa boleh menunjukkan kepada anak-anak teddy bear yang diberus giginya.

Apabila kanak-kanak melihat permainan kegemaran mereka menggosok gigi, ia akan mendorong mereka untuk meniru perbuatan tersebut.

Ibu bapa disaran supaya melakukan aktiviti memberus gigi bersama anak-anak kerana anak-anak mempunyai sifat suka meniru orang lain.

Antara kebaikan melakukan aktiviti sedemikian adalah ia dapat membentuk rutin atau tabiat yang sihat seperti memberus gigi dua kali sehari selepas bangun tidur dan sebelum tidur serta dapat mengajar anak-anak memberus gigi secara betul terutama di tempat yang sukar dijangkau.

Secara tidak langsung, ia dapat mendidik anak-anak untuk melakukan rutin tersebut apabila mereka sudah besar.

Anak-anak juga diberi kebebasan untuk memilih warna dan corak berus gigi kegemaran mereka.

Terdapat berbagai watak kartun pada berus gigi untuk menarik perhatian anak-anak. Ada juga berus gigi elektrik yang membantu anak-anak untuk memberus gigi secara lebih berkesan berbanding berus gigi manual.

Terdapat jua aplikasi di telefon pintar seperti Toothbrush Timer, Brush Time for Kids, Brush Teeth with the Wiggles yang boleh dimuat turun dengan menggunakan pengukur jam (timer) untuk memastikan anak-anak memberus gigi selama dua minit.

Selain itu, animasi demonstrasi cara memberus gigi berserta lagu latar belakang akan menyeronokkan lagi anak-anak untuk memberus gigi masing-masing.

Ibu bapa juga boleh memberi ganjaran atau penghargaan sekiranya anak-anak akur untuk memberus gigi.

* Dr Sarliza Yasmin Sanusi ialah Pensyarah Pergigian Kanak-Kanak di Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia

* Dr Aspalilah Alias ialah Pensyarah Anatomi Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143308/KHAS/Pendapat/Jaga-gigi-anak-anak-waktu-PKP

COMMENTS