Panas!!! Ramesh Rao akan didakwa,Tuduh hakim kes Najib cucu Dr M

Panas!!! Ramesh Rao akan didakwa,Tuduh hakim kes Najib cucu Dr M

Presiden NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao akan dituduh di Mahkamah Sesyen Taiping berkaitan satu ciapan kontroversi mengenai hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Satu sumber mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Ramesh akan dituduh bawah Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 pada hari Rabu.

“Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping pada jam 9 pagi pada 10 Februari,” kata sumber itu.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuat siasatan selama enam bulan terhadap Ramesh.

Ini selepas satu laporan polis difailkan mengenai perkara berkenaan pada 30 Julai tahun lalu.

Pada 28 Julai 2020, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman terhadap Najib atas semua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjumlah RM42 milion dalam kes SRC International.

Pada hari yang sama, Ramesh yang dikenali sebagai penyokong kuat Najib, menerusi akaun Twitter mendakwa Nazlan cucu atau cucu saudara kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, anak perempuan Mahathir, menyangkal dakwaan tersebut sebagai tidak benar.

“Kami rasa bangga kerana mereka berpendapat hakim berpengalaman seperti itu mempunyai kaitan keluarga dengan kami, tapi ini tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, cucu sulung Mahathir kini berusia 33 tahun.

Bulan lalu, Nazlan dipindahkan kembali ke mahkamah sivil.

Dia sebelumnya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Komersial sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah pada bulan Julai 2018.

Sumber: MK

COMMENTS