Pegawai polis tangkap perogol anggap isteri, wira sebenar

Pegawai polis tangkap perogol anggap isteri, wira sebenar

Seorang pegawai polis Pakistan yang berjaya memberkas suspek kes rogol, awal bulan lalu menyifatkan isteri dan anaknya ialah wira sebenar dalam kejayaan itu.

Penghargaan itu dizahirkan selepas isteri dan anak perempuannya, mempertaruhkan nyawa sehingga membawa kepada penangkapan perogol seorang wanita dan kanak-kanak berusia empat tahun.

Pegawai polis di Sindh, Kashmore, Asisten Sub Inspektor (ASI) Muhammed Bux Buriro, berkata serbuan hanya berjaya dilakukan hasil kerjasama isteri dan anaknya.

“Mereka adalah adiwira sebenar, iaitu isteri dan anak perempuan saya. Mereka lakukan tugas yang sangat mulia,” katanya.

 

Menerusi laporan Arab News, Mohammed Bux pada 12 November lalu dilaporkan mengambil tindakan berani dengan mempertaruhkan anak perempuannya demi menangkap Rafiq Malak, lelaki yang merogol seorang wanita dan anak wanita itu yang berusia empat tahun dikenali sebagai Alisha.

Rafiq dilaporkan bertindak membebaskan ibu Alisha selepas 15 hari dua beranak itu diculik dan dirogol dengan syarat dia membawa wanita lain untuk menjadi pemuas nafsu.

Bagaimanapun, wanita itu membuat laporan polis di Kashmore dan Muhammed menjadikan anaknya sendiri sebagai umpan, semata-mata untuk menangkap penjenayah terbabit.

Ketika anaknya dibawa ke sebuah hotel untuk diserahkan kepada suspek, polis kemudian bertindak menyerbu lokasi berkenaan dan menahan lelaki terbabit serta menyelamatkan seorang lagi gadis bawah umur.

Lelaki berkenaan dituduh memperkosa mangsa selama dua hari selepas memperdaya mereka dengan tawaran kerja di daerah itu.

Menyingkap detik cemas sebelum serbuan, Mohammed Bux mengakui helah yang digunakan untuk menangkap penjenayah terbabit, dengan mempertaruhkan nyawa keluarganya sendiri ialah sangat berbahaya.

“Saya beritahu isteri saya untuk jerat dia. Saya kata, saya akan bimbing jika boleh, tetapi teruskan bercakap dengan dia.

“Daerah kami tiada polis wanita, tetapi sekiranya ada, saya tidak akan sesekali pertaruhkan nyawanya.

“Ini kerana di sini, wanita dianggap menduduki taraf yang sangat rendah berbanding lelaki, justeru mereka sering dilihat dengan pandangan kotor dan sebagai hamba,” katanya.

Selama dua hari, isteri Mohamed Bux berbual menerusi panggilan telefon dengan Rafiq, namun helah sedemikian gagal membawa kepada penangkapan perogol berkenaan.

Pada hari ketiga, iaitu 9 November, anak perempuan Mohammed Bux, Reshma kemudian ‘mengumpan’ Rafiq dengan mengaturkan pertemuan di sebuah taman, dekat Kashmore.

Sebaik umpan mengena, Mohammed Bux mengarahkan pasukannya untuk bersedia bertindak dan melakukan serbuan bagi memberkas suspek.

“Saya beritahu Reshma, jika Rafiq cuba lari, Reshma perlu cuba hentikan dia.

“Apabila Rafiq mengarahkan Reshma untuk membuka tudung, Reshma terus tangkap leher suspek dan pasukan saya terus bertindak,” katanya.

Ketika siasatan dijalankan pasukan polis, Rafiq akur dengan arahan dan memaklumkan butiran lokasi sebenar yang digunakan untuk menyembunyikan Alisha.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi bagaimanapun gagal mengesan Alisha di rumah berkenaan, sebelum Mohammed Bux menyedari kelibat seseorang di bawah timbunan pakaian kotor.

Mohammed Bux terus merangkul kanak-kanak berkenaan sebaik dikeluarkan daripada timbunan pakaian dan menarik nafas lega kerana berjaya menyelesaikan kes terbabit.

“Sangat sukar untuk menyedari kelibat kanak-kanak itu dalam keadaan sedemikian, seluruh pasukan saya menangis ketika kami menjumpainya.

“Saya sangat gembira apabila Perdana Menteri (Imran Khan) mengucapkan penghargaan dalam suatu pertemuan bersama pasukan saya.

“Masih segar dalam ingatan saya, apabila Perdana Menteri bergegas berdiri dan tabik hormat kepada saya menggunakan kedua-dua belah tangan,” katanya sambil mengukir senyuman

Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/11/757207/pegawai-polis-tangkap-perogol-anggap-isteri-anak-wira-sebenar

COMMENTS