Peguam kemuka lebih 300 muka hujahan bertulis

Peguam kemuka lebih 300 muka hujahan bertulis

Pasukan pembelaan dan pendakwaan dalam kes rasuah bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad telah menyerahkan lebih 300 muka surat hujahan bertulis di akhir kes pembelaan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang akan didengar pada 4 Dis.

Pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk Salehuddin Saidin mengemukakan 70 muka surat hujahan bertulis manakala pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz menyerahkan 187 muka surat dan pihak pembelaan membalas hujahan pendakwaan juga sebanyak 70 muka surat.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa memberitahu Bernama, hujahan di akhir kes pembelaan sepatutnya didengar hari ini bagaimanapun ditangguhkan kepada 4 Dis berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Pihak kami mengemukakan 70 muka surat hujahan bertulis dan seterusnya pihak kami menyerahkan hujahan balas terhadap hujahan pendakwaan juga sebanyak 70 muka surat,” katanya.

Afzainizam ketika dihubungi memberitahu pihaknya menyerahkan hujahan bertulis kepada Mahkamah Tinggi setebal 187 muka surat.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Mohmad Som mengesahkan mahkamah menerima hujahan bertulis itu secara e-filing pada bulan lepas dan berkata hujahan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Kes tu kita terpaksa tangguhkan untuk hujahan lisan di akhir kes pembelaan pada 4 Dis memandangkan itu tarikh yang kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sesuai,” katanya

Pada 3 Sept lepas, pihak pembelaan dalam kes Mohd Isa yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), menutup kesnya selepas memanggil enam saksi.

Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Mohd Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/549382

COMMENTS