Peguam tipu anak guamnya

Peguam tipu anak guamnya

Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya berhubung kes penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), tiga tahun lalu.

P Nagarajan, 52, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan anak guamnya untuk mempercayai dia telah membantu mangsa untuk tidak ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan dana PTPK sehingga mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM67,000.

Nagarajan dituduh melakukan perbuatan itu di RHB Bank cawangan Kajang, CIMB Bank cawangan Kajang dan kawasan parkir di hadapan restoran di Jalan Semenyih, Kajang antara 18 September hingga 1 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zender Lim Wai Keong mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah.

Peguam Vikraman Rajo yang mewakili Nagarajan bagaimanapun memohon jaminan RM20,000 atas alasan firma guaman yang dimiliki tertuduh terjejas berikutan pandemik Covid-19 selain tertuduh mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan ulser.

Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 22 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648091/peguam-hadapi-empat-tuduhan-tipu-anak-guam

COMMENTS