Pekerja kilang didenda kerana hina Agong, Permaisuri

Pekerja kilang didenda kerana hina Agong, Permaisuri. Pekerja kilang didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta dua pemimpin tertinggi Melaka pada April lalu.

Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Ronney Soo Eng Lee, 44, dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika ingkar membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sengaja menghina Yang di-Pertuan Agong, dan Raja Permaisuri Agong, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Sulaiman Md Ali dengan mengatakan ‘gambar dua ekor ini kau alih mana dan gambar lagi dua ekor mana’ hingga mendatangkan marah kepada Kamal Bashah Jantan, 52, (pengadu) serta mungkin boleh memecahkan keamanan awam.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh pada 15 April lalu, kira-kira jam 8 pagi.

Pekerja kilang didenda kerana hina Agong, Permaisuri

Mengikut fakta kes, pengadu diarahkan untuk mengalihkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri serta Tun Mohd Ali dan Sulaiman yang digantung di pejabat utama kilang itu oleh pengurus besar.

Ketika melakukan tugasan itu, tertuduh mengeluarkan kenyataan penghinaan terbabit menyebabkan pengadu berasa tidak puas hati kerana ia membabitkan institusi Raja-raja Melayu dan pemimpin tertinggi Melaka.

Kenyataan tertuduh jelas menunjukkan dia sengaja melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan awam.

Terdahulu, peguam Ishak Mohd Kari merayu hukuman ringan kerana anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan

Katanya, tertuduh juga sudah dikenakan tindakan disiplin oleh majikan susulan kejadian itu dan tidak pernah mengeluarkan perkataan sedemikian lagi selain masih berhubung baik dengan rakan sekerja.

“Tertuduh juga menanggung tiga anak masih bersekolah dan ibu bapa berusia 71 dan 69 tahun,”katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman. setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh.

BACA:

Jawatan kosong di Mydin, mohon segera

Pakai kostum buaya untuk usik buaya, akhirnya ini terjadi

Permainan terhempas di Taman Tema, pengunjung cedera

+ posts