Pekerja pasang kanopi mati ditetak

Pekerja pasang kanopi mati ditetak

Seorang lelaki mati ditetak di tingkat bawah Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di sini hari ini.

Mangsa, M.Tuseelan, 21, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 10 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk kerja memasang konopi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai pergi ke Blok E kira-kira 200 meter dari lokasi ditemui mati untuk membeli makanan.

“Kita percaya mangsa diserang dalam perjalanan dari Blok E ke Blok B oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati, salah seorang daripada suspek telah turun daripada motosikal dan menetak mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa melarikan diri sebelum rebah di kawasan koridor luar Blok B PPR tersebut.

“Susula kejadian itu, pihak polis menahan seorang penganggur berusia 25 tahun yang juga penghuni PPR berkenaan bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita belum menemui senjata yang digunakan dalam kejadian ini,” ujarnya.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita minta saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/11/25/pekerja-pasang-kanopi-mati-ditetak/

COMMENTS