Pelamin anganku ‘musnah’ akibat banjir

Pelamin anganku ‘musnah’ akibat banjir

Impian raja sehari bersanding di atas pelamin pada hari bahagia mereka ‘musnah’ apabila rumah pengantin perempuan di Kampung Kubang Siput, Kuala Itek di sini ditenggelami banjir sedalam 1.2 meter pada Sabtu.

Lebih memilukan, pelamin yang terpaksa dipindahkan sebanyak dua kali itu masih gagal digunakan oleh Nor Asmira Mohd Zaid, 22, dan pasangan, Mohamad Farid Mohamad Rakman, 25, selepas air Sungai Golok turut melimpah masuk ke dalam rumah.

Bukan itu sahaja disebabkan banjir tersebut mak andam, jurugambar serta jemputan juga tidak dapat hadir meraikan hari bersejarah mereka.

Pasangan raja sehari itu bagaimanapun berlapang dada dan menerima perkara itu dengan hati yang terbuka.

Nor Asmira dan pasangannya, Mohamad Farid terpaksa menaiki perahu apabila rumah pengantin perempuan di Kampung Kubang Siput, Kuala Itek, Rantau Panjang dinaiki banjir.
Nor Asmira berkata, dia bersyukur apabila majlis perkahwinannya itu tetap berlangsung walaupun dalam keadaan sederhana tanpa sempat untuk merasai pengalaman berada di atas pelamin seperti pasangan raja sehari yang lain.

“Saya terpaksa meneruskan juga majlis kerana segala persiapan telah dibuat lebih awal dan majlis kami diadakan di rumah ibu saudara yang terletak kira-kira 100 meter.

“‘Make up’ pun saya siapkan sendiri, nasib baik baju pengantin diambil lebih awal dapatlah memakai pakaian raja sehari.

“Sejujurnya saya tidak menyangka banjir akan datang lebih awal tahun ini berbanding sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Keadaan rumah keluarga pengantin perempuan yang ditenggelami banjir selepas air Sungai Golok melimpah di Rantau Panjang.
Menurutnya, disebabkan banjir, rombongan pihak lelaki dan suaminya terpaksa menaiki trak bomba selepas laluan utama dari simpang empat Banggol Kulim ke Kampung Kubang Siput di tenggelami banjir dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang telah menghulurkan bantuan dalam memudahkan urusan perkahwinannya itu.

“Disebabkan banjir, urusan perkahwinan di sebelah lelaki juga terpaksa dibatalkan (Ahad).

“Semua makanan telah diagihkan kepada jiran-jiran terdekat,” katanya.

Kisah perkahwinan kedua-dua ‘mempelai’ ini tular di laman sosial Facebook dan rata-rata warganet bersimpati dengan nasib mereka.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115682/EDISI/Kelantan/Pelamin-anganku-musnah-akibat-banjir

COMMENTS