Pembangkang desak aktifkan semula Majlis Menteri Wilayah

Pembangkang desak aktifkan semula Majlis Menteri Wilayah

Blok pembangkang hari ini mendesak Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengaktifkan semula Majlis Menteri Wilayah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, majlis itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen di kawasan Kuala Lumpur (KL) terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta memberi maklum balas mengenai perkara yang berlaku di ibu negara.

Menurutnya, Majlis Menteri Wilayah itu diperkenalkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), namun dihentikan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara.

“Rakyat atau pengundi KL telah membuat pilihan yang jelas (pilih ahli Parlimen) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Maka suara rakyat KL, pengundi KL perlu diberi perhatian dan penelitian yang lebih khusus.

“Pada hemat kami dalam kalangan ahli Parlimen KL, dengan adanya satu forum seperti Majlis Menteri Wilayah ini, maka kami boleh terlibat dalam proses penggubalan dasar dan sebagainya.

“Forum Menteri Wilayah ini merupakan yang terbaik untuk menemukan ahli Parlimen dan penggubal dasar untuk membincangkan perkara dasar termasuk isu perumahan, pembangunan lestari dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurut Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), pihaknya kesal apabila mereka tidak diberi ruang untuk bertemu secara formal dengan Annuar.

“Sebenarnya Parlimen bersidang ialah waktu paling sesuai untuk menteri (Annuar) adakan pertemuan dengan ahli Parlimen KL kerana persidangan ini berada dalam kawasan KL,” katanya
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/108392/BERITA/Nasional/Ahli-Parlimen-pembangkang-desak-Majlis-Menteri-Wilayah-diwujudkan-semula

COMMENTS