Pemuda Umno desak tubuh RCI siasat Tommy Thomas

Pemuda Umno desak tubuh RCI siasat Tommy Thomas

Pemuda Umno mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Tommy Thomas berhubung isu dibangkitkan bekas peguam negara itu dalam bukunya “My Story: Justice in The Wilderness”.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat tujuh asas bagi mewajarkan penubuhan RCI termasuk isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim.

Katanya, Thomas sendiri mengakui terlibat dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan hakim kanan.

“Ia termasuklah ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, hakim besar Malaya dan hakim besar di Sabah dan Sarawak serta hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama perdana menteri. Sedangkan beliau bukan ahli suruhanjaya perlantikan hakim.

“Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009. Malah, disebabkan pendedahan Thomas, siasatan RCI juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman, yang terkandung dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Bakcer pada 2019,” katanya di Facebook.

Thomas dalam bukunya menceritakan pengalaman sepanjang menjadi peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Memoir setebal 500 muka surat itu menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan PH, dengan antara isu utama lain seperti pendakwaan ahli perniagaan dalam burua Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Asyraf berkata, menerusi penulisan Thomas itu, ia juga menzahirkan wujudnya campur tangan jelas perdana menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad dalam badan pengadilan dan kehakiman, bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Thomas lakukan pendakwaan terpilih apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap bekas menteri kewangan itu.

“Ini tidak termasuk sejumlah besar kes lain yang ditarik balik melibatkan pimpinan PH seperti R Sivarasa, Rafizi Ramli, N Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi,” katanya.

Malah, Asyraf turut mengingatkan Thomas juga menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 individu termasuk dua pemimpin DAP yang sebelum ini didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun polis mempunyai kes terhadap mereka.

Katanya, Thomas juga melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dan Akta Rahsia Rasmi 1972 denga mendedahkan kepada umum mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau sebagai peguam negara bersama perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, yang diklasifikasikan sebagai sulit.

“Malah, Thomas juga akui “melobi” jawatan peguam negara sejak sebelum pilihan raya umum ke-13. Beliau juga akui mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada Dr Mahathir selepas kemenangan PRU14,” katanya.

Katanya, tindakan Thomas itu sama ada sedar atau tidak sudah menzahirkan kecenderungan politiknya sehingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin berbeza ideologi politik dengannya.

“Thomas juga jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Disebabkan itu penubuhan RCI penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sumber:FMT

COMMENTS