Penduduk Kota Bharu diminta bersiap sedia

Penduduk Kota Bharu diminta bersiap sedia

Lebih 1,000 orang penduduk yang tinggal berhampiran pinggir hilir Sungai Kelantan di sini diminta bersiap sedia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku limpahan air di kawasan tertentu yang dijangka berlaku malam ini.

Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata, antara kawasan yang mungkin dinaiki air membabitkan Kampung Penambang, Kampung Badang, Kampung Kedai Buloh dan Kampung Tikat di sini.

“Penduduk di sekitar kawasan Kampung Laut di Tumpat juga perlu berwaspada terutama mereka yang tinggal berdekatan Sungai Kelantan.

“Sehingga kini, tiada rekod PPS dibuka di Kota Bharu bermakna tidak berlaku banjir di kawasan berkenaan. Cuma mereka perlu berjaga-jaga malam ini kerana bimbang aliran banjir yang turun dari hulu sungai di Kuala Krai ke hilir Sungai Kelantan di Kota Bharu.

“Kita bimbang, aliran air itu memberi kesan dan boleh mengakibatkan limpahan air di lembangan Sungai Kelantan sekali gus berlaku banjir di kawasan rumah berhampiran pinggiran sungai di Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Rantau Panjang di sini hari ini.

Katanya, bagaimanapun, ramalan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan berharap tidak berlaku kenaikan air di daerah tersebut

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/01/07/penduduk-kota-bharu-diminta-bersiap-sedia/

COMMENTS