Pengasas ilustrasi digital Artortoise meninggal dunia

Pengasas ilustrasi digital Artortoise meninggal dunia
 Pengasas ilustrasi digital Artortoise, Ikhsan Ise, dilaporkan meninggal dunia pagi ini.
Berita sedih itu dikongsi menerusi kemas kini di laman Facebook rasmi Artortoise.
Menerusi kemas kini itu juga, jenazah Allahyarham dimaklumkan akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini.
Sumber Facebook Artortoise
“Assalamualaikum WBT, dukacita dimaklumkan bahawa saudara Mohamad Ikhsan bin Kamarudin
(@ikhsanise Artortoise ) telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.37 pagi 1 Disember 2020.
“Kami juga memohon doa dari semua supaya dipermudahkan urusan perjalanan Allahyarham ke alam sana. InsyaAllah jenazah akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini,” menurut kemas kini tersebut.
Sebelum ini, akaun Artortoise pernah melaporkan Ikhsan atau nama sebenarnya, Mohamad Ikhsan Kamarudin, 35 tahun, menerima rawatan Hepatitis B di Hospital Selayang dan masih tiada perkembangan yang baik.
BACA: Setiap kali terpandang beg cenderahati itu, pasti teringat Artortoise – Zulkifli

Pada 15 Oktober lalu, Allahyarham juga membuat kemas kini di laman Instagram beliau, memaklumkan sedang menjalani rawatan radioterapi untuk hari pertama sambil turut meletakkan tanda pagar #CancerFighter.
Artortoise bukan satu nama yang asing dalam kalangan pengguna media sosial, malah Astro AWANI juga pernah beberapa kali muncul di ruangan media sosialnya.
Pada masa sama, Artortoise juga menggunakan ilustrasi untuk menyebarkan pesanan khidmat masyarakat (PSA) sepanjang pandemik COVID-19 di Malaysia.
Artortoise juga menampilkan ilustrasi bintang-bintang ternama dalam laman media sosialnya, termasuk Ernie Zakri, Zizan Razak, Black Pink dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Sumber:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengasas-artortoise-ikhsan-ise-meninggal-dunia-270966

COMMENTS