Penjawat awam intai wanita dalam tandas ditahan

Penjawat awam intai wanita dalam tandas ditahan

Penjawat awam yang ditahan kerana disyaki mengintai wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Cinta Sayang, direman dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 36 tahun itu direman sehingga esok.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil.

Harian Metro semalam melaporkan, penjawat awam ditahan polis kerana disyaki mengintai wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Cinta Sayang, di sini, kelmarin.

Suspek ditahan ketika datang ke balai polis, 5.20 petang semalam untuk membuat penafian berhubung laporan yang dibuat wanita berkenaan.

Bagaimanapun keterangan yang diberikan suspek meragukan dan dia ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak mengaku mengintai seperti yang didakwa pengadu malah dia mengaku masuk ke tandas wanita kerana sakit perut disebabkan kononnya tandas lelaki berkunci.

Siasatan juga mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia bebas dari pengaruh dadah.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/654414/suspek-intai-wanita-dalam-tandas-direman

COMMENTS