Penjawat awam Terengganu mengaku tidak bersalah terima rasuah

Penjawat awam Terengganu mengaku tidak bersalah terima rasuah

Pegawai Perancang Bandar dan Desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,500.

Tertuduh, Zariman Ibrahim, 41, yang ketika kejadian berkhidmat di Majlis Daerah Besut membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan sebagai penjawat awam didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 melalui akaun peribadinya daripada Nor Hashimi Hassan.

Kesalahan dilakukan itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya pada 4 September 2018.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Sumber: HM

COMMENTS