Peruntukkan RM1.5 juta bantuan kepada nelayan

Peruntukkan RM1.5 juta  bantuan kepada nelayan

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan RM1.5 juta sebagai bantuan kepada nelayan terbabit dalam bencana di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata peruntukan itu disalurkan kerajaan sebagai bantuan segera bagi meringankan bebanan golongan berkenaan.

“Setakat hari ini, kami sudah membelanjakan lebih RM800,000 bagi memberikan sumbangan kepada nelayan yang ditimpa bencana di seluruh negara.

“Di Kelantan sahaja, kami mengeluarkan hampir RM100,000 untuk disampaikan kepada 28 nelayan terbabit dengan bencana seperti rumah terbakar dan sebagainya,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada nelayan, Nawawi Che Soh yang kediamannya musnah terbakar pada 25 Oktober lalu.

 

Sementara itu, Che Abdullah berkata, semua agensi dan jabatan di bawah kementerian itu diminta bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh, bagi menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Mengenai masalah dihadapi 20 penternak ikan di Laguna Sri Tujoh di sini, yang kerugian ratusan ribu ringgit, beliau berkata, jabatan berkaitan telah mengambil maklumat berhubung perkara itu.

“Agensi kami telah turun padang untuk mengambil maklumat, kami akan bantu keperluan yang perlu kepada penternak terbabit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 20 penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujoh berdepan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas banyak ikan mati akibat kualiti air kotor.

Ia disebabkan pelepasan air ketika proses pembersihan sungai yang menyebabkan keladak dan sisa tumbuhan dialirkan masuk ke kawasan ternakan

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/756725/rm15-juta-untuk-bantu-nelayan-terbabit-bencana

COMMENTS