Pesuruhjaya PAS Melaka bertanding DUN Duyong

Pesuruhjaya PAS Melaka bertanding DUN Duyong

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek mengesahkan akan kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu berkata, perbincangan telah diadakan bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam usaha menolak Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

“PAS akan memainkan peranan pada PRN Melaka untuk menentukan kuasa Melayu ini berpihak kembali kepada Melayu. Itu harapan PAS sekarang ini, bagaimanapun berbincangan (kerusi) masih berjalan selagi mana tidak berlaku hari penamaan calon.

BACA JUGA : Timb Menteri PAS cadang kurangkan gaji pekerja tempatan dari RM1500 kepada RM1200

“Saya cakap realitinya (DUN) Duyong antara sasaran kita sebab memang saya dah bertanding di situ dan saya terus buat kerja selepas PRU-14.

“Setakat ini, perbincangan BERSATU dan UMNO, Duyong antara keutamaan kita pertahankan. Insya-Allah, (saya) akan buat (comeback),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Pada PRU-14, Kamarudin memperoleh 2,930 undi dalam saingan tiga penjuru menyaksikan DUN Duyong dimenangi DAP, Damian Baba Yeo yang memperoleh 7,642 undi sekaligus turut menewaskan calon MCA, Lee Kiat Lee (4,747 undi.)

Ditanya, keyakinan PAS yang menjadi ‘king maker’ memastikan pengundinya memberi sokongan kepada calon PN, Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata, fokus utama adalah mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

“Mengelakkan pertembungan tiga penjuru itu adalah jalan paling selamat untuk Melayu mempunyai kuasa politik yang besar di Melaka

“Kalau ini dapat dibincangkan, kemenangan (PN) boleh lebih daripada dua pertiga majoriti,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU-14, PAS berdepan saingan tiga penjuru bersama BN, DAP, PKR dan AMANAH di enam DUN berkenaan iaitu Gadek, Durian Tunggal, Klebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban yang menyaksikan semua kerusi dimenangi calon PH (DAP, AMANAH, PKR).

Bagaimanapun jika kerjasama PN dapat diterjemahkan pada PRN Melaka dengan tidak memecahkan undi dalam saingan tiga penjuru, PAS atau BN berpeluang memenangi semua enam kerusi berkenaan.

Sumber : https://www.melakahariini.my/pesuruhjaya-pas-melaka-sahkan-bertanding-dun-duyong/

COMMENTS