PH temui Tengku Zafrul bincang Belanjawan 2021

PH temui Tengku Zafrul bincang Belanjawan 2021

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilihat mula tiba di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Ia berlaku selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam berkata, dia akan mengadakan mesyuarat bersama beberapa pemimpin pembangkang untuk membincangkan Belanjawan 2021.

Antara yang dilihat sudah hadir seawal jam 2.40 petang adalah wakil dari PKR iaitu Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail; Anggota Parlimen Subang, Wong Chen; Ketua Pemuda Akmal Nasir dan Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jelas Wong Chen, PKR akan mengemukakan enam cadangan kepada Tengku Zafrul berhubung belanjawan tersebut.

“Ada eban cadangan yang akan dikemukan (berhubung Belanjawan 2021) dan kami akan keluarkan kenyataan media apabila dah selesai perjumpaan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu wakil dari Amanah pula ialah presidennya Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Wakil DAP yang sudah tiba pula ialah Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti Kebangsaan Tony Pua dan Anggota Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Mesyuarat tersebut dilaporkan akan berlangsung bermula pukul 3 hingga 5 petang.

Pada 29 Okt lalu, dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Mohamad dan Lim, mereka menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan perbincangan secara rasmi berhubung belanjawan.

Menurut PH, gesaan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah

“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku,” kata Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR, pada Khamis yang lalu.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/548956

COMMENTS