Polis bantuan di Pejabat PM positif Covid-19 punca kluster Seridana

Polis bantuan di Pejabat PM positif Covid-19 punca kluster Seridana

Kluster Seridana muncul selepas beberapa anggota polis bantuan yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang daripada mereka sepatutnya menjalankan tugas khas di parlimen dan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP), anggota polis bantuan terbabit disaring tiga hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

“Tiga rakan beliau (anggota polis bantuan terbabit) positif, dan isteri positif… jadi saringan telah dijalankan di PMO.

“Ada kluster baru iaitu kluster Seridana yang melibatkan lima kes polis bantuan,” katanya pada sidang media untuk menjelaskan keadaan semasa wabak Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Selain anggota polis bantuan itu, kata Noor Hisham, turut disahkan positif Covid-19 ialah seorang penterjemah bahasa isyarat dan seorang pegawai kepada senator Dewan Negara.

Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 12 orang kontak rapat kepada kes berkenaan.

Katanya walaupun keputusan ujian saringan menunjukkan mereka negatif, semua yang terlibat masih menjalani kuarantin selama 14 hari.

Mengenai penterjemah bahasa isyarat itu, Noor Hisham berkata, KKM mengenal pasti tujuh kontak rapat dan semuanya sedang menjalani kuarantin.

Justeru Noor Hisham meminta semua orang yang menghadiri sidang parlimen perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

Sementara itu Noor Hisham memberitahu KKM akan membentangkan kepada parlimen cadangan pelaksanaan saringan berkala kepada semua yang hadir di situ.

Katanya, kali terakhir saringan dijalankan ialah tiga hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula. Sidang kali ini pula, katanya, berlangsung selama enam minggu.

“Jadi mereka masih terdedah. Saya fikir ini (saringan berkala) adalah langkah pencegahan dan proaktif (bagi membendung Covid-19),” katanya.

Untuk rekod, nama Seridana dipercayai digunakan sempena Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi perdana menteri.

Ia terletak di Presint 10 Putrajaya manakala PMO di Presint 1.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/549273

COMMENTS