Polis nafi dakwaan tak benarkan orang awam buat laporan kemalangan. Polis menafikan dakwaan seorang lelaki terdapat mangsa kemalangan di Bukit Damansara tidak dibenarkan membuat laporan polis di sebuah balai di situ.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya mengesan satu ciapan dimuat naik pada 9.58 malam tadi, menggunakan akaun Twitter dikenali sebagai @ManiamMKM.
Pengguna Twitter itu mendakwa terdapat satu kemalangan di Bukit Damansara dan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan di ‘Balai Bukit Damansara’ serta diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail atau Ibu Pejabat Polis Daerah.
Amihizam berkata, hasil siasatan mendapati ‘Balai Bukit Damansara’ yang dimaksudkan ialah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang ditutup sejak 2010 dan tidak beroperasi lagi.
“Pondok berkenaan telah diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011. Ciapan itu satu fitnah dan polis akan membuat satu laporan berkaitan kes itu.
“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Amihizam menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada polis.
BACA JUGA:
Manchester City pintas Arsenal di EPL
Kajian saintifik tidak sokong kebanyakkan susu formula bayi yang diiklankan
PMX selamat sampai di Malaysia dari Turkiye