Polis siasat pengguna Facebook isu ‘Nilai 3 terletak di Selangor’

Polis siasat pengguna Facebook isu ‘Nilai 3 terletak di Selangor’

Polis membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pemilik akaun Facebook, disyaki menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegentaran awam mengenai isu ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor’.

Isu itu timbul selepas selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail tidak didakwa meskipun dikatakan melanggar SOP pencegahan Covid-19 dengan merentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3, di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pasangan itu didakwa atas kesalahan tidak mendaftar kemasukan mereka di premis dan tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman dipetik Bernama sebagai berkata pemilik akaun tersebut dikenali sebagai ‘N9 RADAR’ akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Pemilik akaun itu memuat naik status ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor’. Kita menegaskan bahawa Nilai 3 merupakan kawasan dalam pentadbiran IPD Nilai, Negeri Sembilan dan bukannya terletak di Selangor,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata kenyataan dikeluarkan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial masing-masing.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/575863

COMMENTS