Pusat kuarantin swasta pertama Malaysia

Pusat kuarantin swasta pertama Malaysia

Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian klinik swasta Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) berjaya memberi kemudahan kuarantin selesa kepada hampir 600 pesakit Covid-19 bermula awal bulan ini.

Ketua Pegawai Operasi KMZ, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak berkata, setelah lebih dua minggu pusat kuarantin swasta pertama negara itu beroperasi, pencapaian bilangan pesakit menggunakan pusat sehenti tersebut bagi mendapatkan rawatan adalah sangat membanggakan.

Menurutnya, inisiatif KMZ membuka fasiliti PKRCS bertujuan memberi pilihan kepada masyarakat terutama golongan yang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat kuarantin yang lebih selesa.

Katanya lagi, penubuhan fasiliti swasta pertama seumpamanya di negara ini diharap dapat membantu pihak kerajaan menampung jumlah pesakit Covid-19 yang mencatat peningkatan tinggi, sekali gus menyediakan kemudahan kuarantin terbaik kepada pesakit.

“Semua sedia maklum bahawa jumlah kes Covid-19 di negara ini mencatat peningkatan dan kerajaan perlu menyediakan pusat kuarantin yang banyak untuk menampung pesakit.

“Untuk itu, inisiatif menyediakan kemudahaan yang pertama seumpamanya di negara ini diharap dapat memberi kemudahan sebaiknya kepada pesakit yang ingin sebuah pusat fasiliti kuarantin yang selesa, sekali gus diharap dapat memberi ketenangan dalam proses penyembuhan kepada para pesakit COVID-19,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

KMZ mempunyai dua buah pusat kuarantin pada masa ini iaitu di PKRCS Royale Chulan Kuala Lumpur dan Lodge Residence Nilai, Negeri Sembilan yang bermula 8 Jun lalu.

Terbaharu KMZ telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega yang akan beroperasi di Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam bermula 21 Jun 2021.

Mengulas lanjut, Nafidz berkata, antara punca utama kes-kes kritikal yang berlaku kerana tidak berjaya menampung bilangan pesakit yang perlu dikenakan tindakan kuarantin.

KMZ menyediakan kemudahan selesa kepada penghuni yang ingin mendapatkan perkhidmatan di PKRCS.
Sehubungan itu katanya, usaha KMZ diharap mampu membantu negara dalam membendung wabak Covid yang telah memberi impak besar kepada seluruh masyarakat.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/147587/BERITA/Nasional/Pusat-kuarantin-swasta-pertama-negara

COMMENTS