Rakyat Malaysia ramai dibatalkan visa ke Australia kerana ditakuti tukar tujuan

Rakyat Malaysia ramai dibatalkan visa ke Australia kerana ditakuti tukar tujuan

Rakyat Malaysia ramai dibatalkan visa ke Australia kerana ditakuti tukar tujuan. Rakyat Malaysia nampaknya berada di kedudukan teratas dalam senarai pembatalan visa pelancong oleh pihak berkuasa Australia. Data terbaharu ini dilaporkan oleh SBS News, laman berita rasmi yang bertapak di Australia.

Malaysia berada di hadapan China, India, United Kingdom dan Taiwan dalam 10 senarai pembatalan visa pelancong. Data yang dikutip dari Kementerian Dalam Negeri Australia dan temubual dengan pegawai kerajaan ini merangkumi kes-kes yang terjadi dari 2017 sehingga 2022.

Angka tersebut menunjukkan bahawa dari 1 Julai 2017 hingga 30 Jun 2022 terdapat 8,079 kes pembatalan visa dibuat ke atas pelancong yang hadir ke Australia. Pembatalan ini difahamkan disebabkan oleh dakwaan bahawa terdapatnya pelanggaran syarat visa.

Bagaimanapun, sejak COVID-19 melanda dunia, kes pembatalan visa pelancong turun mendadak. Data menunjukkan bahawa pelancong yang dibatalkan visa mereka mencapai 3,844 pada tahun 2017-18, tetapi menurun kepada 1,467 pada 2019-2022.

Sebenarnya, data ini tidaklah mengejutkan. Pada 2019, rakyat Malaysia telah berada dalam kedudukan tertinggi pihak imigresen Australia disebabkan pendudukan secara haram di negara tersebut. Imigresen Australia sering menolak kemasukan rakyat Malaysia ke negara tersebut kerana mereka percaya bahawa wujud ‘motif yang lain’.

Rakyat Malaysia ramai dibatalkan visa ke Australia kerana ditakuti tukar tujuan

Motif ini difahamkan datang daripada aktiviti rakyat Malaysia yang hadir ke negara tersebut untuk memetik buah dan kerja-kerja lain secara haram.

Selain itu, di dalam siri Border Security: Australia’s Front Line, pernah didokumentasikan bagaimana seorang rakyat Malaysia telah dihalang masuk ke Australia.

Siri ini memaparkan tugas Australian Border Force (ABF) yang setiap hari berdepan pelbagai jenis ragam ‘pelancong’ yang tiba di Australia di mana setiap ‘pelancong’ ini ditahan kerana tidak mengikut undang-undang di Australia seperti membawa barangan terlarang atau ‘percutian yang meragukan’.

Salah satu episod siri ini yang melibatkan pasangan dari Malaysia tular di Facebook. Seperti biasa, setiap individu yang tiba di Australia akan ditanya soalan-soalan standard oleh pihak ABF.

Namun, timbul keraguan daripada pasangan ini kerana mereka hadir tanpa itinerari dan apabila ditanya, mereka cuma menjawab mereka pergi ke Australia kerana mahu shopping dan honeymoon selepas 10 tahun berkahwin.

Pasangan itu kemudiannya dipisahkan untuk ditanya soalan secara berasingan. Keraguan perjalanan pasangan ini menjadi lebih jelas apabila mereka memberikan tarikh perkahwinan berbeza serta tidak tahu lokasi mana yang mereka akan pergi dan berapa lama mereka akan tinggal di Australia.

Selepas selesai siasatan, pasangan ini diarah pulang kerana motif kehadiran mereka yang meragukan. ABF mengesyaki pasangan ini sebenarnya mahu masuk ke Australia dan bekerja di sana secara haram.

Video tersebut mencetuskan perbezaan pendapat daripada netizen. Ada yang berasa bersimpati dengan nasib pasangan itu dan ada yang bersetuju dengan tindakan tegas ABF.

BACA:

Sebab-sebab tandas awam tidak tutup penuh menjadi tanda tanya, “mana logik?”

Misteri kereta terbakar masih menjadi tanda tanya

Perubahan iklim dunia semakin tenat, kesihatan dan nyawa kanak-kanak dalam bahaya