Rakyat persoal ketelusan PN jika terus rahsia laporan MA63

Rakyat  persoal ketelusan PN jika terus rahsia laporan MA63

Penganalisis politik berpendapat, keengganan kerajaan mendedahkan laporan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal mengundang persoalan mengenai ketelusan dan integriti Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, dalam konteks keadaan semasa ketika ini tiada apa yang perlu dirahsiakan kerajaan kepada rakyat.

“Mungkin mereka (kerajaan) ada sebab atau kesukaran untuk tidak mendedahkannya (laporan MA63), tetapi apa yang pasti langkah sedemikian hanya akan mengundang rakyat mempersoalkan ketelusan dan integriti kerajaan PN dalam menangani isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak.

“Dalam keadaan kedua-dua kerajaan iaitu PN dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang dikatakan umpama telur di hujung tanduk, sudah pasti keadaan ini tidak membawa sebarang manfaat kepada mereka malah mengeruhkan lagi keadaan,” katanya kepada FMT.

Lee Kuok Tiung.
Lee berkata, isu itu juga bakal memberi kesan kepada PN dan GRS kerana masing-masing mempunyai kepentingan yang perlu dijaga.

“GRS sebagai gabungan pemerintah di Sabah mempunyai ‘locus standi’ untuk rundingan kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) termasuk dalam soal mendapatkan hak negeri ini.

“Di peringkat persekutuan pula, PN pimpinan Muhyiddin Yassin sudah pasti sekarang ini memberi keutamaan kepada soal Belanjawan 2021 yang akan diundi pada 25 November ini sama ada lulus atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, laporan MA63 sudah pasti ingin diketahui rakyat, lebih-lebih lagi mereka ingin tahu apakah kejayaan dicapai Jawatankuasa Khas Kabinet (JKKK) MA63 yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

“Pendedahan (laporan MA63) itu sudah pasti lebih elok daripada dibiarkan diputar belit oleh lawan politik PN kelak.

“Ia (pendedahan laporan MA63) juga boleh dilihat sebagai langkah pencegahan untuk mengelak isu ini dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Awang Azman Pawi.
Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat, kerajaan kekal dengan pendirian laporan MA63 tidak perlu didedahkan kepada umum kerana tidak mahu ia disalah tafsir apatah lagi belum menemui penyelesaiaan menyeluruh.

“Sekiranya laporan itu (MA63) dihebahkan, maka ia akan menjadi polemik awam yang boleh dijadikan senjata politik pihak lawan. Selain itu, jika didedahkan laporan itu juga, ia akan menganggu proses kajian tuntutan yang masih belum selesai.

“Namun, apabila rumusan dan keputusan keseluruhan sudah dicapai semua pihak antara kerajaan Sabah, Sarawak bersama Putrajaya, maka barulah lebih sesuai didedahkan kepada pihak awam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila progres laporan itu tidak diketahui rakyat Sabah dan Sarawak, maka sukar untuk kerajaan mendapat maklum balas lebih menyeluruh daripada rakyat dua negeri berkenaan.

“Ini sesuai untuk memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak didengari dan tidak sekadar dimonopoli suara elit politik yang memerintah,” katanya.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/24/rakyat-akan-persoal-ketelusan-pn-jika-terus-rahsia-laporan-ma63-kata-penganalisis/

COMMENTS