Rasuah makin berleluasa dalam kalangan orang melayu Islam

Rasuah makin berleluasa dalam kalangan orang melayu Islam

BILA amalan-amalan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada realiti budaya parti politik masa kini atau dianggap sebagai ‘perkara biasa’ dan ‘ia wujud dalam semua parti politik’, rasuah tidak lagi dilihat sebagai korupsi atau perkara ditegah oleh agama.

Amalan-amalan tidak bermoral itu sukar dibanteras lagi kalau ia sudah mencapai tahap kanser akhir, apa lagi bila ia berpunca daripada tindak-tanduk pemimpin atasan yang mengkompromi nilai-nilai moral atau larangan agama, (kononnya) demi kepentingan parti yang dikeramatkan.
Dalam hal itu, kelangsungan dan kemenangan parti yang dikeramatkan lebih penting daripada soal halal dan haram. Amalan-amalan tak bermoral itu sukar dibanteras kerana adanya banyak sumber dana dan kewangan yang lumayan yang boleh dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau parti tokoh korporat atau syarikat swasta atau individu yang kaya dalam negeri atau luar negeri.

Sumbangan kewangan atau kebendaan seperti kenderaan yang boleh digunakan parti untuk mobilisasi politik menjelang pilihan raya amat diperlukan oleh ahli politik yang bercita-cita tinggi – apalagi untuk mereka yang sudah gila kuasa atau gila harta atau gila populariti.
Kemuncak ‘pandemik rasuah’ dan ‘virus kemunafikan’ di Malaysia abad ke-21, pada hemat saya ialah kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi kes itu seperti puncak tertinggi sebuah gunung, tidak mungkin boleh menjadi sebesar ‘gunung berapi’ kalau pergunungan politik Malaysia pasca abad ke-20 tidak dijajah terlebih dahulu – secara senyap-senyap dan tidak kelihatan dari luar − oleh koloni-koloni makhluk perosak kecil bernama anai-anai dari atas sampai ke bawah gunung.

Dalam pergunungan budaya politik pasca abad ke-20 yang dipenuhi koloni anai-anai itu, amalan kemunafikan politik selalu ditampilkan sebagai suatu keniscayaan, amalan yang tidak dapat dielak dalam realiti dunia hari ini tetapi ia perlu dihiasi, diselimuti, dibungkus indah oleh justifikasi atau alasan bahawa semua ‘pengorbanan’ atau tindakan tak bermoral itu terpaksa dilakukan demi kepentingan parti, kaum atau agama dan sekali-kali bukan demi kepentingan peribadi atau keluarga!
Kadang-kadang ia dijustifikasikan dengan anggapan umum yang disalah tafsirkan bahawa ‘politik bukan agama’, seolah-olah tindak-tanduk atau strategi parti politik orang Islam terlepas bebas daripada jaringan hukum atau prinsip atau nilai akhlak agama Islam; seolah-olah tindakan politik yang ternyata bertentangan dengan norma-norma agama Islam atau kepentingan agama, tidak akan dipersoalkan di mahkamah keadilan mutlak pada hari pembicaraan di akhirat.

Sumber: SinarHarian

COMMENTS